Monday, January 4, 2016

Muslim vs Samurai

MUSLIM VS SAMURAI

Author:  

 

th (1)“Mengapa orang Jepun sukar menerima Islam?” tanya seorang ahli perniagaan yang juga merupakan kenalan baharu saya.

“Benarkah begitu?” balas saya dengan pertanyaan juga. Saya tidak pasti sebenarnya. Apakah itu realiti atau sekadar andaian. Kali terakhir saya memijak bumi matahari terbit itu kira-kira 20 tahun yang lalu. Dalam tempoh selama itu berbagai-bagai perubahan boleh berlaku. Dahulu hanya ada sebuah masjid di Kobe tetapi sekarang sudah banyak masjid di sana.

“Betul,” jawabnya pasti. “Saya sering berulang alik ke sana dan saya lihat orang Jepun agak payah untuk menerima Islam.

“Sudah cuba berdakwah di sana?” tanya saya.

“Belum secara langsung. Hanya berdakwah melalui perbualan biasa. Dalam urusan perniagaan, saya cuba selitkan sedikit-sedikit nilai Islam. Sayangnya respons daripada mereka kurang memberangsangkan. Entah mengapa.”

Saya terdiam. Jauh di sudut hati, saya sebenarnya masih tertanya-tanya, apakah itu satu hakikat ataupun hanya satu tanggapan yang bersifat peribadi.

 

Sebab Mereka Lebih Baik

“Baiklah, anggap sahaja tanggapan saya itu benar. Apa komen awak?” joloknya seolah-olah dapat membaca keraguan saya. Saya senyum. Terasa bersalah pula meragui pendapatnya. Padahal dia lebih dekat dengan Jepun. Apa tidaknya, dalam tempoh sebulan sahaja dia sudah beberapa kali berulang-alik ke sana.

“Saya rasa puncanya ialah orang Jepun merasakan kehidupan mereka lebih baik berbanding orang Islam. Oleh itu apa perlunya mereka memeluk Islam.”

Akhirnya saya bersuara juga. Mungkin satu tanggapan juga.

“Lebih baik daripada sudut apa? Kalau kecanggihan sains dan teknologi memang ada kebenarannya. Jepun jauh lebih hebat.”

“Bukan itu sahaja, malah sikap dan adab. Mereka jauh meninggalkan kita,” sambung saya. Pada saya orang Jepun bukan sahaja unggul dalam bidang ekonomi dan teknologi tetapi juga keperibadian. Para pelajar mereka diajar dan dilatih dengan adab lebih dahulu sebelum diberi ilmu.

“Contohnya?”

“Contohnya, kebersihan tandas. Pergilah ke mana-mana bandar di Jepun, kebersihan tandas mereka sangat mengagumkan. Jauh lebih bersih daripada tandas awam, malah tandas-tandas di masjid kita. Lapangan terbang mereka misalnya, jauh lebih bersih dan mesra pengguna berbanding lapangan terbang negara-negara Islam seperti lapangan terbang Karachi dan Jeddah.”

“Itu sekadar kebersihan, itu satu sudut yang masih terhad dan terbatas.”

“Bukan sekadar kebersihan tetapi juga tentang kejujuran dan integriti.”

Lalu saya ceritakan kepadanya tentang seorang sahabat yang pernah menyewa teksi. Sebaik sahaja menyedari dia tersilap jalan, pemandu teksi terus mematikan meter bayaran. Dia hanya menghidupkan semula meter tersebut apabila tiba di jalan yang betul.

“Bukan itu sahaja, malah barang-barang peribadi seperti telefon bimbit, beg dan lain-lain  yang tertinggal  atau tercicir di stesen kereta api, di pusat membeli belah atau di tempat-tempat  awam akan dapat ditemui semula. Kebanyakan masyarakat mereka sangat menghormati hak orang lain,” tambah saya lagi.

 

Ketepatan Masa

Saya turut menceritakan bagaimana disiplinnya orang Jepun menepati dan mengurus masa. Saya masih ingat bagaimana seorang pelajar Malaysia memberi panduan kepada saya untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi berpandukan jadual perjalanan kereta api dari satu stesen ke satu stesen api yang lain. Sukar untuk mencari jalan atau tempat berpandukan tulisan kerana di Jepun hampir semua papan tanda jalan, nama-nama jalan, stesen kereta api dan tempat-tempat semuanya ditulis dalam bahasa Jepun. Mereka sangat berbangga dengan nilai-nilai bangsa mereka.

Saya masih ingat lagi dialog antara saya dengan pelajar tersebut.

“Bagaimana saya boleh tiba di destinasi yang saya inginkan?”

“Mudah sahaja ustaz. Ustaz selaraskan sahaja jam ustaz dengan jam stesen kereta api ini. Tepat pukul sekian, ustaz naik kereta api ini. Pada pukul sekian pula, ustaz turun. Tunggu dalam masa sekian-sekian, ustaz naik kereta api lain di belah kiri dan turun pula pada jam…”

Pendek kata, pelajar Malaysia tersebut memberi panduan berdasarkan penetapan masa. Ertinya, perjalanan kereta api sangat menepati masa hingga berdasarkan jadualnya sahaja kita boleh sampai ke destinasi kita. Saya kagum!

“Apa yang saudara kagumi pada bangsa Jepun?” tanya saya pula. Menukar posisi perbualan. Sekarang saya pula yang bertanya. Saya ingin mendengar pengalamannya.

 

Budaya Kerja

“Budaya kerja mereka! Sangat rajin dan disiplin. Sangat kreatif dan inovatif dalam mencipta dan mengeluarkan. Mereka sangat mementingkan ketepatan,” balasnya.

Sebelum sempat saya membalas, dia menyambung lagi, “mereka sangat bangga dengan kerja. Hinggakan kalau ditanya mereka dari mana? Mereka tidak akan menyebut bandar atau lokasi tempat tinggal mereka tetapi akan menyebut organisasi tempat mereka bekerja.”

Saya mendengar penuh teliti. Penuh minat. Saya tatap wajahnya dengan serius.

“Saya pernah mendengar cerita betapa para isteri mereka berasa malu sekiranya suami pulang awal daripada bekerja berbanding suami jirannya yang masih belum pulang. Saya juga mendengar cerita betapa mereka yang diberhentikan kerja berasa sangat malu menjadi penganggur. Itu satu kehinaan. Hinggakan mereka tetap keluar dari rumah pada hari bekerja seolah-olah mereka masih bekerja. Mereka malu dengan keluarga. Mereka malu dengan jiran dan masyarakat jika menganggur.”

“Wah, hebat! Kagum saya,” ujar saya sambil mengangguk-angguk kepala.

“Mengapa mereka begitu komited dengan kerja walaupun pegangan agama mereka longgar dan ada dalam kalangan mereka yang tidak menganut mana-mana agama pun?” soalnya tiba-tiba.

Belum sempat saya menjawab, dia bertanya lagi, “sedangkan ramai orang Islam sendiri malas bekerja, bersikap ‘cincai’, dan suka bertangguh. Mengapa?”

Saya diam. Terkesima juga apabila ditanya bertubi-tubi begitu. Setelah berfikir sejenak, saya bersuara perlahan, “semua itu kerana mereka sangat berpegang, pertama dengan etika kerja. Dan kedua, dengan budaya bangsa. Kedua-duanya dihayati dan diamalkan secara bersepadu.”

“Budaya? Etika?” tanyanya perlahan. Kelihatan dia berasa hairan.

“Mutu kerja mereka yang baik dibentuk oleh etika kerja mereka. Setiap kerja ada etikanya. Apabila etika kerja itu dipatuhi maka terhasillah kerja yang efektif dan efisien.”

Melihat dia terdiam, saya menyambung lagi, “satu faktor lagi, setiap bangsa juga ada keistimewaannya tersendiri. Itu kurniaan Allah kepada setiap bangsa. Bangsa Cina terkenal rajin. Arab, tahan lasak dan menghormati tetamu. Sepanyol, Portugis dan Inggeris terkenal berani dan berjiwa besar. Yahudi, bijak dan licik. Melayu sopan-santun dan lemah kembut. Manakala bangsa Jepun pula terkenal kerana kegigihan dan semangat juangnya yang tinggi. Sifat-sifat baik yang sudah serasi dan sebati oleh sesuatu bangsa itu jika terus disuburkan akan berakar umbi hingga menjadi budaya.

“Oh, begitu. Jadi sifat-sifat baik manusia itu boleh terbina oleh etika kerjanya dan budaya bangsa tersebut?” dia merumuskan seakan satu pertanyaan.

Saya hanya mengangguk.

 

Pergantungan kepada Tuhan

Setelah diam agak lama dengan fikiran masing-masing, saya kembali bersuara untuk terus merancakkan perbualan, “apa kelemahan bangsa Jepun?”

Dengan cepat dia menjawab, “lemah kerohaniannya. Lemah pergantungan kepada Tuhan. Apabila kecewa dan putus asa mudah membunuh diri. Sebab itu, kadar bunuh diri sangat tinggi dalam kalangan mereka. Sama ada pada orang dewasa juga kepada kanak-kanak.”

“Kalau begitu Islam memang sangat diperlukan oleh orang Jepun. Islam mampu memenuhi kekosongan jiwa orang Jepun,” tegas saya.

“Masalahnya mereka tidak minat Islam.”

“Itu bukan masalahnya. Masalahnya ialah kita yang tidak bijak menarik minat mereka. Islam ialah produk yang baik, tetapi kita, umat Islam yang lemah memasarkannya.”

“Memasarkan Islam? Islam satu produk?”

“Itu perumpamaan sahaja. Produk yang baik, maksudnya hanya Islam agama yang diredai Allah. Agama yang paling sempurna,” jelas saya.

“Baik, saya faham sekarang. Bagaimana pula memasarkan Islam?”

“Cara memasarkan Islam adalah dengan mengamalkannya,” jawab saya pendek.

“Inilah cara yang boleh memikat orang Jepun. Islam mementingkan kebersihan, pengurusan masa, kejujuran dan menepati janji, maka umat Islam mesti mengamalkannya. Dengan mengamalkan nilai-nilai itu, keindahan Islam akan terserlah. Insya-Allah, hanya dengan itu bangsa Jepun akan terbuka mata.”

“Saya setuju. Mula-mula terbuka mata, kemudian baru terbuka hati untuk menerima Islam,” katanya berkali-kali.

“Apa kelebihan kebaikan yang terbina oleh agama berbanding etika dan budaya?”

Tiba-tiba saya diterjah oleh satu soalan yang bagi saya sangat sukar dijawab.

“Awak ada nampak perbezaan antara generasi muda Jepun masa kini berbanding generasi Jepun yang terdahulu?” tanya saya. Saya menjawab soalannya dengan soalan juga. Saya sebenarnya cuba mencari ruang masa untuk terus berfikir.

“Err… saya rasa ada,” jawabnya seperti berfikir juga.

“Apakah perubahan itu?”

 

Apabila Hedonisme Mula Merasuk

“Generasi muda kurang gigih dan bersemangat seperti generasi terdahulu. Hedonisme mula merasuk. Patriotisme dan idealisme semakin merosot. Begitulah kira-kiranya.”

Saya senyum. Mungkin ini juga masih satu andaian. Tetapi apabila teringat apa yang terjadi kepada bangsa sendiri, ada logiknya. Sifat sopan santun yang sinonim dengan bangsa Melayu juga kian goyah. Adab dan tatasusila yang dulunya menjadi identiti Melayu semakin terhakis dalam diri generasi muda Melayu masa kini.

“Awak belum menjawab pertanyaan saya,” terjahnya tiba-tiba.

Lamunan saya terhenti. Agak lama, baru saya meluahkan, “Begini. Kebaikan yang dicetuskan oleh etika kerja dan budaya bangsa semata-mata tidak kukuh. Tidak tahan cabaran semasa dan realiti lingkungan yang sentiasa berubah. Itulah yang menyebabkan generasi kemudian tidak seunggul generasi awal. Bukan sahaja terjadi kepada generasi muda Jepun tetapi juga generasi muda Melayu, Cina dan bangsa-bangsa yang lain.”

Saya berhenti seketika dan menyambung, “ada perubahan besar berlaku kepada setiap bangsa dalam era globalisasi yang menyebabkan dunia seolah-olah bertukar menjadi hanya sebagai sebuah kampung. Ini yang disebut global village.”

“Apa yang terjadi dalam kampung sejagat itu?”

“Proses hegemoni Barat. Satu strategi  yang menjadikan golongan muda sebagai sasaran utamanya. Mereka kian terheret dalam proses globalisasi sosiobudaya. Golongan belia terus menjadi sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan transnasional. Dalam keghairahan untuk mengejar gaya hidup ala Barat, anak-anak muda ini akan meniru bulat-bulat budaya hidup barat,” sambung saya.

 

Islam Sebagai Penyelamat

Hasil penjajahan fikiran dan budaya itu, makanan Barat semakin popular di seluruh dunia. Minuman bergas seperti Coca Cola dan Pepsi begitu dinikmati oleh anak muda. Begitu juga fesyen pakaian seperti Versace, Bonia, Padini dan alat solek seperti Christian Dior, Maybelline. Begitu juga muzik jazz, rock dan lain-lain menjadi kegilaan anak muda. Kapitalis Barat mengaut keuntungan daripada program hiburan, sukan, fesyen dan lain-lain.

“Apa yang cuba awak sampaikan?”

“Saya ingin tegaskan, kalau hanya bersandarkan etika dan budaya, manusia tidak akan mampu melawan proses hegemoni Barat yang begitu dahsyat. Hanya iman. Hanya kebaikan yang dibentuk oleh iman sahaja mampu bertahan. Bukan sahaja mampu bertahan malah mampu melawan dan mengalahkan.”

“Jadi Islam harapan dunia masa kini?”

“Ya. Pasti. Hegemoni Barat hakikatnya ialah penjajahan bentuk baharu yang menjadikan seluruh manusia dan dunia berada dalam dominasi Liberal Kapitalis Barat. Ini penzaliman. Ekonomi, politik dan sosiobudaya manusia akan terus dieksploitasi dan dimanipulasikan oleh Barat.”

“Justeru harapan kita hanya kepada Islam. Islam bukan menjajah, tetapi akan membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia hanya untuk menjadi hamba kepada Allah!”

“Siapa yang akan memikul amanah besar ini?” tanyanya.

“Umat Islam. Kita. Caranya adalah dengan memasarkan Islam. Yakni dengan mengamalkannya dan memperjuangkannya. Betapa selama ini dunia menjadi kacau apabila umat Islam tidak mengamalkan Islam. Kita tidak menjadi teladan. Tidak menjadi penyelamat. Sedangkan tabiat Islam itu selamat dan menyelamatkan.”

“Insya-Allah, saya semakin bersemangat untuk ke Jepun. Bulan depan saya akan ke sana lagi. Saya ingin memasarkan Islam dengan mengamalkan!”

“Insya-Allah, Iman dan Islam ini akan tampak lebih hebat daripada semangat Bushido dan Samurai.”

Saya senyum. Ya! Selamanya manusia lebih percaya mata berbanding telinganya. Orang Jepun lebih memerlukan sikap Islam bukan sekadar cakap-cakap tentang Islam. Sikap boleh dilihat oleh mata tetapi cakap hanya boleh didengar oleh telinga.

 

 

Wednesday, December 30, 2015

Istikharah itu pun perlu Mujahadah

Benarlah, rumah tangga ummah ini sedang tergugah. Ertinya, kubu kita yang terakhir sudah ditembusi. Apabila dilaporkan setiap 15 minit berlaku satu perceraian, kita menjadi benar-benar bimbang. Betapa banyak ‘masjid’ yang roboh dalam masa sehari jika setiap 15 minit berlaku satu perceraian?

Akan tercapaikah perintah Allah agar “selamatkan dirimu dan keluargamu daripada api neraka?”. Akan adakah lelaki yang terbaik sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah, maksudnya”dia yang terbaik ialah yang terbaik dengan keluarganya?” Ramai isteri mahupun suami menghubungi saya, meminta pandangan, saranan dan nasihat… Terus-terang saya katakan saya juga tidak berdaya. Sumbangan saya hanya tulisan dan buku. carilah di situ, Itulah sumbangan kecil saya. Mudah-mudahan, adalah sedikit panduan. Kali ini saya paparkan satu tulisan sebagai peringatan buat diri dan semua pengunjung :

ISTIKHARAH ITUPUN PERLU MUJAHADAH..

Mengapa sukar benar hidup bersamanya? Mengapa kini dia berubah laku? Kenapa dia tidak seperti yang saya harapkan dulu? Padahal dia ada pilihan saya setelah solat istiharah. Apakah solat istikharah saya itu tersalah. Atau saya tidak faham petunjuk sebenar daripada Allah hasil istikharah saya dahulu? Saya sungguh menyesal.

Begitulah antara suara rintihan dan kelohan yang kerap kita dengar samada daripada mulut isteri atau suami setelah beberapa lama mengharungi kehidupan rumah tangga. Apabila ‘warna sebenar’ pasangan kita terserlah yakni setelah lima tahun rumah tangga berumah tangga, maka pada waktu itu ada yang ‘reverse’ ke belakang, dirasakannya masalah kini adalah akibat tersalah membuat pilihan pada awal perkahwinan.

Ini bukan muhasabah yang sehat. Sebaliknya, ini adalah satu musibah yang berat. Tidak ada gunanya ‘menggergaji abuk kayu’. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Kesalahan atau kesilapannya tidak akan dapat diperbetulkan lagi. Sebaiknya bersangka baiklah kepada Allah… dia suami atau isteri kita itu ialah takdir yang telah maktub untuk kita. Dia dan kita telah ditakdirkan Allah hidup bersama.

Jangan ada di dalam hati kita rasa menyesal, rasa terlanjur, yang kita telah tersalah pilih. Tidak sekali-kali. Sekalipun pilihan kita tepat, tetapi kita tetap diuji. Maksudnya, istikharah yang betul dan tepat sekalipun bukanlah jaminan untuk kita tidak diuji. Istikarah kita tetap mengundang musibah… kerana itulah sunnatullah yang tidak berubah-ubah dan tidak sekali-kali bertukar ganti. Hidup dan mati kita adalah untuk di uji. Dunia dan medan rumah tangga hakikatnya adalah medan ujian siapakah diantara kita yang terbaik amalannya.

Pasrahlah dengan pilihan yang kita telah lakukan lewat istkharah. Kata bijak pandai, setiap perkahwinan dibina atas dasar niat, harapan dan impian yang baik namun setiap pasangan suami isteri bertanggung jawab memupuk, membajaai dan menjaga benih kebaikan itu agar tumbuh menjadi pohon yang rendang. Perkahwinan Nabi Adam dan Siti Hawa yang berlaku di syurga itupun ditakdirkan terdampar di dunia untuk diuji dengan pelbagai kesusahan dan penderitaan.

Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan…ya itu sekiranya pangkal jalan kita salah. Namun bagaimana jika pangkal jalan kita sudah benar tetapi kita menghadapi masalah di tengah perjalanan? Jawabnya, teruskan perjalanan. Jangan berpatah balik. Namun telitilah satu persatu apa yang kita telah tersalah, belajar daripadanya. Jangan ulangi kesalahan yang sama berulang kali… cukup hanya sekali kerana orang mukmin itu tidak akan terjerumus dalam lubang yang sama dua kali.

Jangan salahkan istikharah kerana itu sama dengan menyalahkan diri sendiri dan menyalahkan Allah. Apa yang penting, tanamkan di hati, bahawa Istikharah kita telah tepat, cuma setepat manapun pilihan kita hasil petunjuk Allah, kita tetap akan diuji. Ingat selalu, pilihan yang tepat hasil istikharah itu umpama benih yang baik. Ya, benih yang baik sekalipun memerlukan baja, cahaya, air dan dijaga dari gangguang serangga untuk bertunas, berdaun, berbunga dan akhirnya berbuah. Jadikanlah diri kita suami atau isteri yang umpama tukang kebun yang rajin bekerja di kebun cinta!

Carilah semula di mana iman kita letakkan di dalam rumah tangga kita. Bukankah iman yang kita yakini dulu, kini dan selama sebagai dasar dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia? Justeru, semak semula niat di hati, apakah rumah tangga kita masih fokuskan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah. Jika dahulu dasar istikharah kita untuk menjadi dan mencari pasangan yang soleh dan solehah, apakah kita masih berjalan di garis itu? Atau niat kita sudah sedikit melencong kerana hentakan ujian dan cabaran dalam berumah tangga?

Ingat kembali bagaimana cinta kita bermula. Bagaimana istikharah telah menyatukan kita. Dengan hati yang jitu terbinalah rumah-tangga atas niat ingin menunaikan perintah Allah. Di situlah simpulan cinta dia dan kita diikat melalui akad nikah yang sah. Maka dengan nama Allah terdirilah sebuah rumah-tangga ini.

Mesjid adalah ‘rumah’ Allah, maka begitulah sebuah rumah-tangga yang dibina atas nama Allah – ia umpama sebuah mesjid yang didalamnya suami, isteri dan anak-anak akan menegakkan hukum-hakam Allah. Jika berlaku sesuatu yang kusut dalam rumah-tangga, maka dengan mudah ia dapat diuraikan sekiranya suami dan isteri kembali merujuk ke pangkal penyatuan mereka dahulu yakni Allah. Dengan nama Allah kita bertemu (bernikah), maka kepada Allah jua kita merujuk segala-galanya sepanjang perkahwinan ini.

Ertinya, Allah itu bukan sahaja perlu dirujuk ketika awal pemilihan semasa kita beristkharah, tetapi di pertengahan, di hujung sehingga ke akhir perjalanan sebuah rumah tangga. Tuhan telah menyediakan kebahagiaan untuk setiap pasangan yang berumah tangga, tetapi kita perlu berusaha untuk mencari dan mendapatkan kebahagiaan yang telah disediakan itu. Allah telah menyediakan rezeki untuk burung… tetapi burung perlu terbang untuk mendapatkannya!

Jika ada iman, besarlah cita-cita. Apabila besar cita-cita, menjadi keillah masalah. Keluarga yang dibina atas dasar akidah juga mampu berdepan dengan apa jua ujian. Samada ujian itu dalam bentuk kekurangan harta benda, pergeseran jiwa, perbezaan fikiran atau pertembungan emosi antara suami dengan isteri atau ibu-bapa dengan anak-anak. Kesatuan hati mudah dibina dengan sama-sama meletakkan Allah sebagai kuasa Pencatur dan Pengatur dalam apa jua tprogram, dan aktiviti di dalam rumah-tangga.

Jika berlaku ujian kesusahan atau sesuatu yang tidak diingin, sikap menyalahkan orang lain kurang berlaku kerana masing-masing melihat kelemahan diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain. Kemudian sama-sama menerima semua itu sebagai takdir lalu berusaha mengatasinya mengikut lunas-lunas yang dikehendaki Allah.

Ya, tentu ada marah. Ya, pasti ada sedih, terkilan atau apa sahaja. Namun kemarahan, kesedihan, terkilan dan apa sahaja rasa-rasa yang negatif hanya sementara, cuma seketika… cita-cita yang besar (untuk hidup bersama di syurga) menyebabkan kita mampu memaafkan, meminta maaf dan akhirnya melupakan… dan kemudian pelayaran diteruskan lagi untuk menuju cita-cita besar itu.

Istikharah bukan sahaja mengundang musibah. Istikharah juga menuntut mujahadah. Syurga itu maharnya mujahadah. Justeru tekanlah sifat-sifat mazmumah (buruk) sehingga ke paras paling minima. Bermujahadahlah kerana Allah bukan hanya untuk mendapat penghargaan suami atau isteri. Isteri perlu mujahadah mentaati suami walaupun ketaatannya itu mungkin tidak dibalas dengan setimpal kerana dia berbuat demikian bukan mengharapkan balasan suami tetapi semata-mata kerana Allah. Walaupun takdirnya suami seorang yang menderhakai Allah tetapi itu bukanlah sebab untuk menderhakainya selagi apa yang disuruh atau dikehendakinya tidak berlawanan dengan kehendak Allah.

Inilah ketaatan yang diberikan oleh wanita solehah – Siti Asiah isteri kepada Firaun yang terkenal kerana derhakakan Allah. Siti Asiah berbuat baik kepada Firaun bukan kerana mengharapkan balasan Firaun tetapi hanya semata-mata taatkan perintah Allah yang menyuruh seorang isteri taatkan suaminya walaupun suaminya seorang penderhaka. Hanya apabila menyentuh soal akidah, Siti Asiah bangun melawan dan akhirnya terbunuh sebagai syuhadak.

Begitulah suami yang memberi kasih sayang. Apa jua karenah isteri, terimalah dengan redha dan teruslah mendidik dan mendoakannya. Mungkin itu adalah takdir yang harus diterima kerana itulah jalan menuju syurga. Raihlah pahala dan kemuliaan seperti Nabi Ayub, Nabi Lut, Nabi Nuh, yang bersabar menghadapi isteri yang derhaka demi mengharap redha daripada Allah. Isteri itu pemberiaan daripada Allah, baik dan buruknya adalah untuk menguji kita. Jangan hanya dilihat pada pemberiannya (isteri) tetapi lihatlah siapa yang memberinya (Allah).

Apabila sebuah keluarga benar-benar beriman maka mudahlah mereka menerima syariat sebagai peraturan. Orang yang yakin dengan Allah, pasti yakin dengan peraturan-Nya. Syariat adalah jalan atau platform untuk menuju matlamat yang telah ditetapkan bagi sebuah keluarga. Jika matlamat jelas tetapi jalannya kabur, maka tidak mungkin matlamat itu tercapai. Cita-cita menuju Allah memerlukan kita melalui jalan yang telah dibentangkan-Nya dalam Al Quran dan As Sunnah. Jalan itu ialah syariat.

Oleh itu syariat yang merupakan peraturan-peraturan dari Allah itu mestilah menjadi panduan sepanjang melayari kehidupan berumah-tangga. Ia adalah ‘writen law’ yang mesti dipatuhi oleh setiap anggota keluarga. Tidak ada siapa walaupun suami atau ayah (pemimpin dalam rumah tangga) yang harus berada ‘above the law.’ Semuanya tertakluk kepada hukum wajib, haram, sunat, harus dan makruh dalam setiap perlakuan dan tindakan.

Pendek kata dalam rumah-tangga yang menerima syariat sebagai jalan dan peraturan tidak timbul soal ‘Queen Control’ atau ‘King Control’ tetapi suami, isteri dan anak-anak sama-sama tunduk kepada Allah – Raja segala raja. Tidak timbul siapa yang menang atau kalah dalam sesuatu perselisihan atau siapa lebih bijak dalam suatu perdebatan.

Apabila iman dijadikan matlamat, syariat diambil sebagai jalan maka dengan sendirilah berbuahlah akhlak dalam keluarga tersebut. Akhlak adalah natijah hasil mengikut jalan yang jelas berpaksikan matlamat yang tepat. Tanpa iman dan syariat tidak mungkin akhlak dapat dihasilkan. Di sinilah salahnya kita, kita menyangka istikharah itu segala-galanya. Padahal ia baru mukaddimah. Ya, terkadang kita terlalu cepat bercakap soal buah sebaik menanam biji benih tanpa menyedari banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mendapat pokok yang baik .

Di sinilah letaknya kunci ke arah pelaksanaan pakej kebahagiaan bagi sebuah keluarga. Bermula dengan istikharah, dilalui oleh mujahadah, dan akhirnya barulah membuahkan rahmah dan mawaddah. Islam memberi penyelesaian menjurus dan tembus kepada punca pemasalahan bukan mengubat gelaja-gejala atau akibat-akibatnya berkisar pada formula-formula pinggiran.

Ya, sebagai hamba Allah, merujuk kepada Allah bererti pengabdian secara total kepada kehendak dan peraturannya. Dan bila ini ingin dilakukan kita terpaksa kembali ke pangkal segala urusan yakni beriman kepada-Nya. Roh istikharah (merujuk kepada Allah) itu bukan hanya diawal perkahwinan, tetapi di pertengahan, di sepanjangnya, sehinggalah sampai ke hujungnya… syurga. Inilah istikharah cinta!

Nukilan: gentarasa. ( Ust Pahrol Mohd Juoi)

Tuesday, December 29, 2015

2015... bakal melabuhkan tirainya esok...

Assalamualaikum wbt

Apa kabar semua.... Allahuakbar... rupanya dah setahun dah tak update blog... memang penuh sawang laaa blog waseelah nie...nak cerita .. panjang ceritanya dari awal tahun 2015 sampai laa sekarang ni... hari nie dah 30 Disember 2015... 

pendekkan citer... Alhamdulillah..syukur atas segala nikmat dan bersyukur saat diuji. Ayat nie waseelah amik dari buku Prof.MKI... best buku nie... sesapa boleh try2 intai2 dan baca2...
banyak pengalaman suka duka pahit manis sepanjang tahun 2015 nie utk diabadikan kat sini...tapi.. tak berkesempatan untuk menaip perjalanan yg panjang itu.. dah nak abis tahun da nie...huhu

insyaAllah... bagi tahun 2016...
selain berkongsi catatan daripada Ustaz Pahrol Mohd Juoi.. yang rasanya banyak waseelah share dari blog ustaz pahrol..untuk rujukan dan peringatan waseelah.. insyaAllah,waseelah nak buat tambahan info dan juga apa2 yang boleh dijadikan rujukan untuk sesapa yang mencari maklumat tentang pendidikan.. pelancongan..kesihatan... makanan...resipi... kerohanian... kecantikan... produk... dan macam-macam lagi...insyaAllah

Okey.. semoga berjumpa lagi... 

Saturday, November 15, 2014

Menjadi Orang Yang Sebok


19JAN
Kata orang, jika sesuatu kerja hendak disiapkan, berikan kerja itu kepada orang yang sebok. Eh, betulkah? Memang benar. Justeru orang yang sebok sahaja akan menguruskan masa mereka dengan baik. Orang sebok sahaja dapat memberi keutamaan kepada kerja-kerja yang banyak – mana yang utama, mana yang penting. 
Tetapi sebelum itu, yang paling penting tanyakan diri terlebih dahulu, sebok itu untuk apa? Sebok atau buat-buat sebok. Sebok atau menyebok? Sebagai muslim, sebok kita mesti disebabkan kerana ibadah. Tidak kiralah ibadah asas, ibadah umum atau ibadah sunat. Atur sahaja kehidupan mengikut prinsip-prinsip ibadah, nescaya kesebokan kita berbaloi. Sebok kerana Allah.
Untuk mengatur prioriti pelajari atau telaah sedikit apa yang dikatakan oleh Dr. Yusuf Al Qardhawi dalam fiqh aulawiyat. Insya-Allah, banyak panduan di sana. Ah, malu kita dengan para sahabat… masa yang diberikan kepada mereka dan kita sama sahaja, tetapi mereka bertebaran ke seluruh muka bumi menyebarkan Islam. 3/4 daripada mereka meninggal dunia di luar jaziratul Arab. Sampai ke Cyprus, India, China dan Asia. Tanpa kapal terbang, tanpa kemudahan IT dan alat-alat canggih seperti yang dimiliki kita hari ini. Sebok, ya mereka sebok sekali.
Kita? Wah, berapa banyak masa di hadapan TV? Berapa banyak masa membaca Al-Quran berbanding membaca Koran (akhbar). Kalau nak dikatakan sebok, memang sebok… Ada diantara kita yang sambil memandu atau menunggang motosikal masih sempat ber’SMS’. Menguyah makanan sambil berbual di talipon bimbit. Yang berkerja sambil tidak sempat menziarah ibu-bapa di kampung. Mahasiswa/i atau pelajar di IPT dan IPTA  ‘terlupa’ menalipon ibu-bapa… sebok sangat.
Manusia menjadi hamba apa yang dicintainya. Apa yang kita cintai? Itulah yang akan menyebokkan kita. Ingat, musuh perkara yang ‘lebih penting’ ialah perkara yang penting. Para sahabat sudah merasa berdosa jika mereka tersilap dalam memilih keutamaan dalam melakukan kebaikan – “khilaful Aula”. Kekadang mereka merasakan begitu sukar memilih antara bersedekah dengan solat sunat, berdakwah dengan berniaga, berjihad dengan menuntut ilmu… antara yang baik itu, mana yang lebih baik mengikut masa, situasi dan kondisi. Mereka cintakan Allah, mereka disebokkan kerana Allah. Dengar apa yang dirintihkan oleh Sayidina Umar Al Khattab, “aku tidak tidur di malam hari, bimbang urusan ku dengan Allah tidak selesai. Aku juga tidak tidur di siang hari takut urusanku dengan manusia tidak selesai.” Ertinya apa? Ya, Umar adalah individu yang paling “sebok” sewaktu memimpin urusan umat Islam.
Ditengah-tengah kekalutan dan keserabutan kita, kononnya terlalu sebok… “pause” sebentar. Renungi dalam-dalam, panjang-panjang, apa yang sebenarnya kita sebokkan? Bimbang, kesebokkan kita ada satu “deraan” yang kita cipta sendiri akibat membelakangkan kecintaan Allah. Stress, “tension”, boring… adalah toksid baru untuk jiwa manusia moden yang meremehkan kekuasaan Allah. Cari semula pangkal jalan dan tujuan hidup. Tanyakan semula apa yang aku cari dengan hidup yang singkat ini. Ingat kata Imam Safie, “peredaran masa adalah suatu yang aneh… tetapi lebih aneh manusia yang melengahkannya.”
Syaitan, musuh yang tidak pernah tidur. Malaikat, pencatat setia setiap masa. Siapa temanmu dalam kesebokan waktu? Suara siapa yang sering berbisik di hatimu? Ilham dari para malaikat atau waswas yang datang daripada syaitan. Kasih-sayang Allah sesungguhnya masih sudi singgah di hati yang berdosa. Kekadang “jemputan ke daerah kebaikan” singgah secara tiba-tiba. Kutiplah titipan kasih daripada Allah apabila suara hatimu tiba-tiba berbisik, “sampai bila aku harus begini…” Kata hukama, “apabila seseorang didatangi rasa hati yang begitu, ertinya dia telah menerima jemputan Tuhan untuk datang ke daerah kebaikan!”
Jangan berlengah lagi wahai diri, perhatikan kesebokan mu… Untuk siapa, apa, kenapa dan ke mana? Jika ternyata, sudah tersasar, perbetulkan segera. Biarlah kesebokan kita membetulkan “kesebokan” di dunia… menghindarkan kesebokan kita di akhirat. Kesebokan di akhirat itu Neraka! Syurga itulah tempat rehat kita. Allahumma zukna. Amin.
Nukilan: ustaz Pahrol Mohd JuoiMenjadi orang yang sibuk...

MURABI atau SELEBRITI


28JAN

Lepas subuh tadi, sempat saya belek kembali majalah HIDAYAH dari Indonesia yang telah dibaca minggu lepas. “Penyakit para daei”, itulah tajuk yang sangat menyentuh hati saya.

Antaranya, penulis mengingatkan betapa para pendakwah kekadang terlalu sibuk mengajar hingga tidak sempat belajar. Terlalu ghairah menyampaikan hingga kurang menjadi “pendengar”. Terlalu acap ke luar diri, sudah jarang kembali ke dalam diri.

Itu akan menjadikan hatinya keras, dalam kelembutan dakwah secara lisan atau tulisannya. Menjadi akalnya dan pemikirannya tumpul justeru ilmunya seputar itu-itu juga.

Benar-benar saya terkesima. Pengalaman memberitahu bahawa “hati kecil” sentiasa mengingatkan bahawa pendakwah bukan lilin yang menerangi orang lain dengan membakar dirinya sendiri. Ilmu, kata-kata dan tulisaannya bukan komoditi niaga yang asyik dipromosi untuk mempopularkan diri. Hingga kekadang tanpa sedar, manusia ditarik bukan lagi kepada Ilahi, tetapi kepada diri sendiri.

Malang, bila pendakwah jadi “peniaga” yang menjaja bahan dakwah dan tarbiah mengikut selera massa. Dan kejayaan diukur oleh gelak getawa dan puji-puja masyarakat atas keterampilan kata dan gaya. Persis seorang selebiti! Mereka tidak lagi berdiri teguh sebagai karang di dasar lautan yang teguh bagaikan “doktor” memberi kepada ummah apa yang menyembuhkan walaupun terpaksa bergelut dengan kepahitan.

Bukan marahkan sesiapa, tetapi sekadar mengingatkan diri. Mengapa dalam arus ilmu dan maklumat, ceramah dan kuliah, masyarakat sangat kurang berubah? Mengapa jenayah semakin marak? Apakah dakwah kita sudah semakin tawar? Apakah tarbiah kita semakin hambar? Fikir-fikirkanlah. Kata yang datang dari hati… pasti jatuh ke hati. Bukan soal kecerdasan dan gaya, tetapi soal keikhlasan, hikmah dan taqwa.

Mengenangkan itu, teringat saya pada tulisan sendiri pada musim-musim yang lalu. Saya ingin berkongsi semula dengan saudara/i apa yang pernah saya luahkan dalam tulisan bertajuk… 

KAU MURABI BUKAN SELEBRITI!

Leaders are learners – pemimpin adalah individu yang sentiasa belajar. Begitu saya diingatkan berkali-kali. Malah, satu ungkapan yang sering menjadi pegangan saya ialah saat kita berhenti belajar saat itulah kita akan berhenti memimpin – when you stop learning, you stop leading. Ya, walaupun saya bukan pemimpin dalam skla yang besar tetapi saya adalah pemimpin keluarga dan setidak-tidaknya pemimpin diri sendiri. Hakikat ini mengingatkan saya kepada perbualan bersama Pak Long – orang tua kampung saya pada minggu yang lalu.
“Kau asyik mengajar sahaja, bila kau belajar?” tanya Pak Long pada satu hari.
Saya diam. Saya tahu, Pak Long bukan bertanya sebenarnya, tetapi dia mengingatkan.
“Apa yang kau selalu tulis dan cakapkan tu… betul-betul sudah kau amalkan?”
Saya bertmbah diam. Selain ayah, Pak Long adalah orang yang paling saya hormati… malah saya takuti (kadang-kadang).

Namun begitu, Pak Longlah tempat saya ‘ziarah’ apabila ada sesuatu keputusan, kemusykilan atau kecelaruan berlaku dalam episod hidup saya. Sejak saya masih di sekolah rendah, hinggalah kini Pak Long adalah ‘guru’ saya.
“Saya hanya penyampai Pak Long. Apa yang saya tulis dan cakap merupakan gugusan pengajaran yang bukan hanya diambil dari pengalaman diri saya tetapi juga orang lain. Saya juga berharap apa yang telah saya sampaikan, dapat juga saya amalkan.”
“Jangan hanya berharap, berusaha!” pintas Pak Long.
“Insya-Allah,” jawab saya pendek.

“Bagus tu. Jangan menulis ‘diri’ sendiri. Ingat pesan ni, orang yang bijaksana, menulis tentang ilmu. Orang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang pandai menulis tentang ‘orang lain’. Hanya orang bodoh menulis tentang dirinya sendiri.”
Saya mengangguk perlahan. Dalam maknanya kata-kata Pak Long kali ini.
“Pak Long lihat ada kecenderungan sestengah penulis asyik menulis tentang dirinya. Begitu juga penceramah yang asyik bercakap tentang ‘aku’nya.”
“Tapi Pak Long, tak salah kalau pengalamannya itu dapat dikongsi oleh orang lain. Malah itu lebih ‘real’ daripada apa yang dialami orang lain.”

“Betul. Tak salah. Tetapi jangan keterlaluan.”
“Kenapa Pak Long?”
“Sebab, kekuatan ilmu lebih ampuh daripada kekuatan peribadi. Biar pembaca atau pendengar bersandar kepada kekuatan ilmu yang diketengahkan, bukan kekuatan peribadi penulis atau penceramah itu sendiri.”
“Kenapa Pak Long?”
Pak Long merenung tajam. Dia faham kali ini saya bukan hanya menyoal tetapi mempersoalkan.

“Pak Long lihat, penulis atau pendakwah masakini tidak syumul dari segi personalitinya. Tak payahlah Pak Long huraikan lebih terperinci… muhasabahlah diri masing-masing.”
“Maksud Pak Long, golongan ini banyak kelemahan? Biasalah Pak Long. Siapa yang sempurna? Apakah hanya apabila semuanya sempurna baru kita boleh berdakwah?”
“Tidaklah begitu. Tetapi biarlah pendakwah sekurang-kurangnya ‘lebih sempurna’ sedikit daripada golongan yang diserunya.”
“Kalau tidak?”
“Masyarakat akan kecewa, apabila melihat figur-figur yang mereka kagumi malah ingin teladani… tidak seperti yang mereka harapkan.”
“Pak Long, sejak dulu kita diajar bertoleransi dalam hal-hal yang begini. Pendakwah tidak sempurna seperti ‘bahan’ dakwahnya. Begitu juga Islam, dengan umat Islam. Islam sentiasa hebat, tetapi muslim adakalanya hebat adakalanya tidak, bergantung sejauhmana mereka mengamalkan Islam itu sendiri!”

“Hujah lama,” balas Pak Long.
“Tapi masih relevan… Pak Long,” saya seakan merayu.
“Kalau hujah tu diputar-balik begini macam mana… Ya, kalau Islam sentiasa hebat tetapi umatnya belum tentu. Jadi kalau begitu, di mana letaknya keupayaan Islam dalam menjana kehebatan umatnya?”
Sahih, saya terperangkap. Seperti biasa, hujah Pak Long akan bertambah gagah, kalau disanggah. Justeru, kerana itulah saya selalu ‘melawan’. Pak Long bukan guru – kau diam, aku cakap! Tetapi dia adalah guru yang ‘demokratik’ – prinsipnya: Mari sama-sama kita cari kebenaran.

“Kau tidak pernah terbaca tulisan Dr. Yusuf Al Qaradhawi tentang kelohan seorang intelektual Barat yang baru memeluk Islam? Apa kelohannya?”
“Maha suci Allah yang telah memperkenalkan aku Islam sebelum aku mengenal muslim…”
“Tahu pun. Jika intelektual itu kenal muslim, mungkin dia tidak tertarikpun untuk memeluk Islam. Jadi dari segi tertib…siapa yang kita nak perkenalkan dahulu? Muslim atau Islam?”
“Islam Pak Long,” saya akur. Tunduk.
“Ya, itulah maksud Pak Long… pendakwah atau penulis, mesti mengenegahkan prinsip dakwah, Islam dan tarbiah, bukan input peribadi atau personalitinya. Bawa orang kepada Allah, bukan kepada diri, bawa orang kepada Islam, bukan kepada produk atau kumpulan. “
“Terimakasih Pak Long… selalu-selalulah ingatkan saya.”
“Ingat pesanan Pak Long ni… pendakwah adalah seorang murabbi bukan selebriti!”

(Pesanan Pak Long yang akhir itu sampai sekarang masih ‘menikam’ saya!)


Nukilan: ustaz Pahrol Mohd Juoi

Halaman yang anda minati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...